Pelancaran Aplikasi Mudah Alih untuk
Pengguna Gadjet Pintar (UMS)
Sejajar dengan perkembangan teknologi
terkini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan aplikasi mudah alih
yang boleh dimuat turun oleh semua pengguna gadjet pintar android hari ini. Pelancaran
aplikasi tersebut juga dilaksanakan sebagai usaha bagi memenuhi objektif Bidang
Keberhasilan Utama Universiti (UMS-KRA) yang ke-4 iaitu memperkukuh
tadbir urus, kepimpinan dan sistem penyampaian. Majlis pelancarannya telah
disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah
selepas Majlis Perhimpunan Jabatan Canselori di Galeri Majlis universiti
eko-kampus itu.
Aplikasi tersebut yang
dihasilkan melalui inisiatif Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK)
boleh diakses melalui jalur lebar tanpa wayar (Wi-Fi) atau mobile data.
Menurut Datuk Harun, (Naib Canselor) langkah
mewujudkan sistem tersebut amat bertepatan dalam meningkatkan lagi mutu
perkhidmatan terhadap pelajar dan kakitangan. “Buat masa ini, UMS telah
menyediakan kemudahan aplikasi mudah alih bagi kegunaan pelajar dan akan
dikembangkan untuk kegunaan staf pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, dalam amanat naib cancelor kepada
kakitangan Jabatan Canselori beliau berkata, “penerapan disiplin yang tinggi perlu terus diperkasakan ke arah
membentuk pekerja yang cemerlang dan berdaya saing”. Katanya, setiap
kakitangan perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan sebaik
mungkin, sentiasa menghargai dan menepati masa serta sentiasa berfikir maju ke
hadapan selain terus mengamalkan komunikasi berkesan.
Berdasarkan laporan, lebih seratus kakitangan
Jabatan Canselori hadir pada majlis perhimpunan tersebut. Hadir sama, Bendahari
UMS, Tuan Hj Rizal Othman; Ketua Pustakawan, Dayang Rukiah Ag. Amit; Ketua
Jabatan Canselori, No’man Datuk Hj. Ahmad dan Ketua JTMK, Noor Hapipah Samat,
tutur hadir dalam majlis pelancaran itu.
RAHIM ABU (BC12160197)
No comments:
Post a Comment