Monday, November 25, 2013

Kehadiran "Pelangi Senja" di Tamu Gadang

Kehadiran pelangi selepas hujan 


    Kehadiran pelangi pada waktu senja di Tamu Gadang menambahkan lagi pemandangan yang indah selepas hujan itu. Ramai pengunjung yang menyedari akan kehadiran pelangi senja ini. Ada antara pengunjung mengambil kesempatan mengambil gambar bersama teman mahupun ahli keluarga berlatarkan pemandangan pelangi senja ini. Jarang sekali kita dapat melihat pelangi muncul menghiasi ruang udara. kehadiran pelangi hanya seketika apabila hari semakin gelap. 

        Walaupun hujan turun pada hari ke-2 Tamu Gadang itu tidak menjadi penghalang para pengunjung mengunjungi gerai-gerai yang berada di sana. Kebanyakan gerai yang ada menjual barang-barang dengan harga yang lebih murah berbanding harga sebenar jika beli di luar.Pengunjung wanita tidak melepaskan peluang membeli perhiasan seperti gelang mutiara, kerongsang, rantai dan banyak lagi. Pengunjung lelaki pula berkerumun di gerai menjual jersi.

         Makanan-makanan yang dijual juga tidak kurang enaknya. Gerai sate, ayam panggang, ayam golek menjadi tumpuan para pengunjung pada waktu malam kerana pelajar baru selesai sesi kuliah. Kemeriahan Tamu Gadang bukan sahaja disebabkan oleh penggunjung tetapi juga disebabkan dengan  kehadiran artis-artis jemputan.  

Semoga kemeriahan ini akan berterusan sehingga ke hari terakhir Tamu Gadang ke 15.


Nur Razirah binti Tahir

Sunday, November 24, 2013

AzlanTypewriter Gegarkan Padang Kawad, UMS



Sempena majlis konvokesyen yang berlangsung selama 4 hari di Universiti Malaysia Sabah, ramai kehadiran artis terkenal Malaysia datang untuk memeriahkan lagi majlis di Tamu Gadang. Salah satunya adalah AzlanTypewriter turut hadir bagi membuat persembahan khas di padang kawad UMS. Kehadiran beliau telah menyebabkan padang kawad tersebut dibanjiri oleh para pelajar UMS sendiri, orang awam dan kakitangan UMS sendiri. 

padang kawad yang dibanjiri orang ramai



AzlanTypewriter



Kemeriahan cukup dirasakan di padang kawad walaupun cuaca tidak menentu. azlan membuat beberapa persembahan yang menghiburkan para penonton. Selepas beliau, kini tiba giliran Akim AF pula. Adakah Akim mampu mengegarkan padang kawad juga? Sama-sama kita saksikan 25 November 2013 ini.


Akim AF bakal membuat persembahan di Tamu Gadang

Mustika binti Derise
“Janji ditunaikan”

          Hal ehwal pelajar Universiti Malaysia Sabah, sekali lagi menunaikan tanggungjawab dan janji terhadap pelajar yang layak untuk mendapatkan bantuan. Bantuan yang diberikan adalah berbentuk wang untuk meringankan beban dan tanggungan ibubapa para pelajar. Para pelajar yang menerima bantuan kebajikan dari HEP adalah diantara mereka yang terpilih untuk menerima bantuan ini. Jumlah bantuan yang diberikan kepada pelajar adalah berbeza-beza mengikut jumlah tanggungan ibubapa. Justeru itu para pelajar diharapkan akan memberikan yang terbaik untuk setiap keputusan peperiksaan akhir semester. Setidak- tidaknya pelajar menghargai bantuan ini dengan memberikan yang terbaik untuk Universiti Malaysia Sabah. Majoriti pelajar yang menerima bantuan ini berasa terharu dan meyakini bahawa janji untuk kebajikan pelajar adalah diutamakan.

Keratan Cek bantuan kebajikan pelajar

         Dengan adanya bantuan yang diberikan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar ini sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah dan bebanan pelajar untuk di akhir semester . Hal ini demikian kerana, rata-ratanya pelajar pada penghujung semester akan mengalami masalah kewangan. Perbualan antara pegawai HEP telah menambahkan lagi keyakinan pelajar terhadap permohonan yang akan dibuka. Pelajar dinasihatkan untuk memohon sekiranya permohonan kebajikan dibuka, hal ini kerana setiap permohonan akan dibuka sekali sahaja untuk satu semester. Para pelajar yang sudah membuat permohonan diharap tidak jemu dan putus asa untuk memohon semula seandainya permohonan anda tidak diluluskan. Tuntasnya disini pelajar tidak boleh menanamkan sifat yang suka berputus asa sekiranya anda gagal untuk pertama kalinya, kerana gagal untuk permohonan yang pertama kali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya.

Siti Aminah Binti Salleh
 “Sesak Tetapi Menggiankan”

         “Sesak, tetapi menggiankan”. Itulah yang akan berlaku pada setiap kali berlangsungnya Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah. Kesesakkan ini akan dirasai oleh mereka yang menggunakan kenderaan sendiri. Semua anggota berkuasa telah berusaha untuk mengatasi dan cuba menyelesaikan masalah yang julung kalinya dihadapi setiap kali berlangsungnya majlis konvokesyen. Pada pendapat penulis, kesesakan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang tertentu. Road block selalunya akan berlaku pada waktu petang. Hal ini kerana, pada waktu itulah semua pekerja UMS dan penjawat awam akan bergerak balik ke rumah masing-masing. Hal ini ditambah lagi oleh pengunjung yang tidak jemu-jemu untuk datang bertandang ke Tamu Gadang. Pengunjung yang datang akan menambahkan lagi kemeriahan suasana konvokesyen. Hal ini secara tidak langsung akan menambahkan lagi peratus kesesakan jalan raya pada ketika itu. Bukan itu sahaja, malah kedatangan para artis jemputan seperti Azlan, Heliza Helmi, Akim, Fiq dan yang lain turut menambahkan jumlah pengunjung yang datang. Hal ini sudah pasti akan membawa kepada peningkatan kesesakan jalan raya, terutamanya pada jam 5pm- 6pm. 







        Kepelbagaian yang ada pada Tamu Gadang juga turut menarik minat pelancong dari luar untuk datang bersama-sama memeriahkan lagi suasana majlis yang berlangsung di Tamu Gadang yang lazimnya akan disambut setiap kali konvokesyan berlangsung. Apapun keadaannya semua pemandu dan penunggang motorsikal hendaklah sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika berada dalam kesesakan, hal ini kerana keadaan itu amat menguji kesabaran terdapat segelintir pemandu yang mempunyai sikap tidak bertanggungjawab dengan memotong di sebelah kiri jalan raya. Malah pada waktu kesesakan juga boleh berlaku kemalangan yang tidak dijangkakan. Oleh yang demikian sama-samalah kita berusaha untuk menjaga tingkah laku sewaktu berada di atas jalan raya, terutamanya apabila terlibat dalam  kesesakan lalu lintas.

Yusri Bin Jesnar
Dialog Orang Seni ( DOS ) Haruskah Seni!!!!

       Dalam meniti kehidupan sebagai seorang anak seni, pelbagai persepsi yang terpaksa dielakkan untuk meneruskan kerjaya. Tomahan dan sterotaip yang diungkapkan oleh segelintir masyarakat terhadap bidang seni adalah sesuatu perkara yang menyedihkan. Pemikiran mereka terhadap perkataan SENI itu adalah sempit ( kata-kata Tuan Haji Samin Ongki ) Pada kesempatan ini pelajar tahun 2 sekolah pengajian seni universiti Malaysia sabah telah menganjurkan bual bicara mengenai Dialog Orang Seni (DOS) yang membincangkan tentang “HARUSKAH SENI”. Pelbagai penjelasan yang diutarakan oleh ahli panel iaitu tuan Haji Samin bin Ongki dan professor madya. Dr Suwaid Tapah.

panel jemputan yang merungkai kekaburan

        Penjelasan yang diberikan adalah ringkas tetapi padat berisi dengan pelbagai pandangan dan pendapat berlandaskan syariat dan akedemik. Menurut professor madya, seni itu indah, dan keindahan itu tidak akan berubah sekiranya ia tidak lari dari konsep estetika, etika dan akidah. Tambah beliau lagi seni adalah harus dalam kehidupan kita. Manakala tuan Haji Samin pula berkata bahawa seni itu harus dan bersetuju dengan tajuk perbualan pada hari jumaat itu. Bagi beliau seni itu adalah harus, kerana seni amat berkait rapat dalam kehidupan kita termasuklah dalam pergaulan percakapan, pemikiran dan sebagainya yang berkaitan. Menurut beliau sekiranya seni itu haram, maka apa yang halal? Mengapa isu ini timbul, seni itu tidak haram, tetapi terpulang pada pelakunya untuk bermatlamatkan apa? Ramai anak-anak seni yang mempersoalkan status mereka pada kebajikan iaitu zakat. Segelintir mereka tidak layak untuk mendapatkan wang bantuan zakat, kerana sebab-sebab yang tidak munasabah. Persoalan yang dilontarkan dapat dihujah semula oleh ahli panel. Kesimpulannya kita sebagai manusia tidak seharusnya dan sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan sesuatu hukum terhadap sesuatu isu yang sebenarnya kita kabur. Ingat kita bukannya tuhan untuk mengambil alih tugasNYA. Sama-samalah kita muhasabah diri dan ingat, kita juga kita boleh menegakkan benang yang basah. Mana yang jelas, harus kita akui! 



Ar-Rahim Bin Abu ( BC12161197)

Saturday, November 16, 2013

KamiYrara Group
    1. Ar-Rahim bin Abu                               BC12160197
    2. Mustika binti Derise                             BC12160216
    3. Nur Razirah binti Tahir                        BC12160219
    4. Siti Aminah binti Salleh                        BC12160236
    5. Yusri bin Jesnar                                    BC12160242

Friday, November 15, 2013

“KUALITI KESIHATAN ANDA”
  
Kesihatan merupakan anugerah tuhan yang tidak terhingga dan ternilai. Sudah semestinya setiap individu menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing. Namun begitu, pelbagai penyakit kini  khususnya di UMS semakin berluluasa. Ramai diantara kita termasuk saya sendiri dijangkiti penyakit. Keadaan ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sebaliknya perlulah dianggap  serius dan disusuli dengan langkah yang efektif.

Pelbagai langkah yang dapat kita ambil untuk menjaga kesihatan . Antara langkah yang boleh diambil dalam usaha menjalani kehidupan yang sihat, termasuklah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang mestilah berpandukan kepada pyramid makanan. Kita disarankan supaya mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang berperanan membekalkann pelbagai jenis mineral dan vitamin kepada tubuh badan kita. Disamping itu, kita mestilah mengurangkan makanan yang berlemak supaya tidak mendapat penyakit seperti diabetis dan penyakit jantung.



Selain itu, kita juga hendaklah mengamalkan aktiviti bersukan dan bersenam. Seseorang individu itu mestilah menjalankan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu. Disamping itu juga, seseorang itu boleh melakukan aktiviti padang seperti bermain bola, berlari, bermain hoki  dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bersenam. Hal ini akan membuat seseorang itu sihat dari segi fizikal dan mental serta kecerdasan otaknya. Ini sudah dibuktikan oleh mereka yang melakukannya.


                   


Tambahan pula. Seseorang individu itu, termasuklah mahasiswa dan siswa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Perkara ini bertujuan untuk memastikan tubuh badan dalam keadaan yang baik tanpa sebarang penyakit yang berbahaya.

Bukan itu sahaja , setiap individu terutamanya pelajar, hendaklah menjaga waktu tidur. Dalam kesibukan menjalani aktiviti harian, keperluan tubuh badan tidak wajar diabaikan. Tubuh badan kita memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus berfungsi dengan baik. Tanpa rehat yang secukupnya, tubuh badan akan menjadi lesu sekali gus menyebabkan semua aktiviti tergendala. Oleh itu, rehat dan tidur yang cukup amat diperlukan.

Kesimpulannya kita mestilah menjaga kesihatan dengan baik. Sesungguhnya kesihatan adalah anugerah Tuhan yang perlu dihargai. oleh itu, kita bertanggungjawab memelihara kebaikan yang telah dikurniakan kepada semua individu. Kita tidak mahu seperti yang dikatakan oleh pepatah melayu, “sudah terhantuk baru nak terngadah”.


Ar Rahim Bin Abu (BC12160197)
TANDAS SEOLAH-OLAH MENJADI TEMPAT MELEPASKAN NAFSU “MEROKOK”
   
Sisa Puntung Rokok


Tandas berbau


Universiti Malaysia Sabah (UMS) 14 November – Kawasan Universiti Malaysia Sabah merupakan kawasan larangan merokok. Namun larangan ini seperti tidak diendahkan oleh para pelajar. Malah tandas sudah menjadi ruang selesa untuk mereka melepaskan keinginan merokok.

Ramai siswa yang menjadi saksi bahawa tandas merupakan salah satu tempat popular di kalangan siswa UMS untuk merokok. Salah satu saksi itu adalah saya sendiri. Malah ada sesetengah siswa yang tidak bertanggungjawab sering membuang puntung rokoknya di dalam mangkuk tandas. Perkara ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada pengguna yang lain. Malah sisa-sisa puntung rokok di buang ke dalam mangkuk tandas boleh mengakibatkan tandas tersumbat.

Keadaan tandas yang dipenuhi asap



Menurut seorang saksi, Ariffin, yang berumur 21 tahun, mendakwa kadang-kala, tandas dipenuhi dengan kepulan asap rokok sekiranya lebih dari seorang siswa yang merokok pada masa yang sama. Hal ini menyebabkan beliau terasa sesak nafas ketika berada dalam tandas.


Perkara ini haruslah dipandang berat oleh pihak yang bertanggungjawab. Sekiranya perkara ini dibiarkan, apalah ertinya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh mana-mana Universiti sekiranya peraturan seperti ini dilanggar sewenang-wenangnya oleh para pelajar. Peraturan tanpa perlaksanaan tidak ubah seperti menulis surat di atas pasir.




Nama : YUSRI BIN JESNAR

“Berhati-hati Dengannya”

Berapa peratuskah anda menjaga kesihatan anda?
Tepuk dada jangan tanya selera, tapi tanyalah minda anda! 
“Gula”


  
Sudah tentunya anda akan senyum melihat perkataan “gula”. Minuman tidak akan sesedap rasa dan namanya tanpa adanya gula. Betul?

Gula sememangnya memberi manfaat kepada manusia. Walau bagaimanapun, pengambilan gula yang berlebihan dapat mengundang pelbagai masalah kesihatan yang kronik kepada manusia amnya yang saya tujukan ialah rakan-rakan seperjuangan. Penelitian dan pengkajian secara kasar yang saya lihat, ramai diantara mahasiswa dan mahasiswi di UMS ini suka sangat minum yang berperisa dan manis. Perkara ini sangat serius. Mungkin kesannya mengambil jangka masa yang panjang untuk menonjolkan keakibatannya.

Diantara kesannya yang dapat kita lihat ialah, mengakibatkan penyakit  penyakit kronik seperti diabetis dan sakit jantung. Diabetis atau kencing manis berpunca apabila pancreas yang terletak di bawah perut, gagal mengeluarkan insulin yang mampu untuk menhuraikan kandungan gula dalam badan kita. Hal ini akan mengakibatkan kandungan gula dalam tubuh kita akan disimpan sebagai lemak lalu dalam jangka masa yang panjang akan menjadi punca saluran darah tersumbat dan aliran darah akan terganggu dan besar kemungkinan akan mengakibatkan seseorang individu itu mengalami serangan sakit jantung.

Mungkin kesan ini, akan menggegarkan dan mengerikan  bagi mereka yang suka makan ataupun minuman yang manis, jadi terpulang pada rakan –rakan untuk memikirkan kesan buruknya yang lebih banyak berbanding kesan yang baik.

Ingat kesihatan tidak ada nilai! Ianya amat berharga, oleh itu hargailah kesihatan yang kita miliki pada hari ini.


Ar Rahim Bin Abu (BC12160197)


“STRESS!!”

“Kawal tekanan anda secara alami”
Berapa peratuskah anda berjaya mengawal stress anda? Kenapa perlu stress!?



Saya memang tidak menafikan, stress kadang kala membuat kita hilang pertimbangan. Pada blog Kamirara ini saya ingin berkongsi pada pengunjung semua cara mengatasi stress secara alami.

Cara mengatasi stress di universiti atau di manapun secara alami. Stress adalah sebuah gejala gangguan psikologis akibat dari banyaknya persoalan dan masalah yang menumpuk dan tertumpuk hingga akhirnya fikiran dan otak manusia tidak lagi mampu untuk menampung dan menguruskan masalah dengan baik. Perkara inilah yang membuatkan anda tertekan.

Langkah yang paling utama ialah, anda sebagai manusia mempunyai pegangan agama masing-masing. Kenapa anda tidak mengadu dan meluahkan pada pencipta anda? Percayalah aduan yang paling berbisa ialah anda yang mengadu pada maha pencipta anda! Segala masalah yang menyinggahi anda pastinya akan menjadi tekanan yang sangat menyakitkan otak dan fikiran anda. Justeru itu melalui agamalah kita mengadu. Mengadulah pada maha pencipta kerana dia bukan sahaja mendengar, tetapi Dia maha mendengar! Percayalah tekanan anda akan berkurang sekiranya anda menggunakan langkah ini mengikut kepercayaan masing.

Langkah kedua yang ingin penulis kongsikan ialah, anda hendaklah membuka minda dan fikiran anda. Segala apa yang dirasa membebankan, luahkan dan keluarkan dari hati anda. Disini anda hendaklah memainkan peranan yang penting untuk mencari seseorang yang boleh mendengar isi hati anda! Isi hati disini bukan bermaksud kearah  cinta semata-mata. Percaya dan yakinlah pada saya! Luahan dan curahan tekanan anda yang telah diceritakan akan membuatkan berkurangnya tekanan yang dihadapi. Sila rujuk pakar psikologi.

Selain daripada luahan, anda juga boleh mencari tempat yang tenang dengan suasana yang tenteram untuk anda menrefleksikan diri anda. Keluarlah dan carilah tempat yang boleh menenangkan, cara seperti ini akan membuat fikiran lebih tenang dan rileks sehingga anda mencari dan memikirkan langkah penyelesaian masalah anda. Saya senri tidak akan berbicara hal ini sekiranya saya tidak pernah mengalaminya.

Kesimpulanya, apa yang telah disampaikan penulis adalah pengalaman yang pernah dihadapi. Percayalah! Anda perlu mengatasinya dengan hati yang tenang agar tekanan itu tidak akan menjadi bisa dan racun dalam badan serta kudis pada otak dan fikiran anda!


 Ar Rahim Bin Abu (BC12160197)


Mesin Baru Perpustakaan UMS


Sedarkah anda tentang kewujudan mesin baru di perpustakaan UMS??? Apakah fungsinya??? Adakah perkara ini juga menjadi persoalan di minda kalian?

Mesin peminjaman buku

Mesin yang terletak berhampiran dengan kaunter peminjaman buku di perpustakaan itu merupakan mesin baru yang diperkenalkan . Mesin itu berfungsi untuk memudahkan pelajar untuk membuat peminjaman buku sendiri dengan lebih pantas. Kewujudan mesin ini sekaligus mengurangkan masalah kesesakan  di kaunter peminjaman buku. Kaunter kini hanya digunakan untuk sebarang pertanyaan dan tujuan pemulangan, pembaharuan tarikh serta pembayaran denda sekiranya buku lewat dikembalikan. Sekiranya pelajar ingin menggunakan perkhidmatan tersebut tetapi tidak mengetahui cara-cara menggunakannya, tidak perlu risau kerana akan ada kakitangan perpustakaan yang akan menunjukkan cara mengendalikan mesin itu. Jelaslah bahawa Universiti Malaysia Sabah juga mengikuti peredaran zaman dengan menggunakan teknologi yang baru dan canggih. Semoga kemudahan ini digunakan sebaik-baiknya oleh para pelajar UMS. 

pelajar yang sedang menggunakan kemudahan yang disediakan


Mustika Binti Derise