Sesuci Cintamu
Cinta merupakan satu ukuran asas pengalaman manusia yang memberikan perasaan kasih sayang, kemesraan dan keserasian
antara manusia, rela berkorban untuk orang lain, perasaan tertarik dan
hubungan kepada alam, benda hidup ataupun makhluk lain. Cinta dapat ditunjukkan
melalui perasaan, emosi, kelakuan, pemikiran, persepsi dan sikap. Cinta juga mempengaruhi personaliti seseorang dan menetukan hubungan antara perorangan dengan pengenalan diri. Oleh itu, dalam cinta ada suatu ketulusan perasaan yang membuatkan
manusia yang merasainya itu gembira, sedih, rasa keyakinan, rasa dimiliki, dan
sebagainya.
Cinta yang pertama ialah mencintai Allah dan
RasulNya,lebih dari kita mencintai orang lain. Seterusnya barulah mencintai
makhluk Allah,dan di sini bermula pecahan-pecahan cinta. Dalam cinta biasanya
tersimpan seribu macam perasaan yang amat sukar digambarkan, bermula dengan
rasa suka, hati berdetak, mulut tersenyum, muka bertambah seri, dan akhirnya
cinta itu menjadi milik kita. Amat mudah
untuk melafazkan cinta, tetapi amat mudah juga melupakan cinta. Cinta yang
sejati lahir dari hati yang tulus seperti cinta
seorang ibu terhadap anaknya.
Cinta
seorang ibu itu amat tulus terhadap anaknya. Ibu tidak pernah merungut dalam membesarkan
anak- anaknya. Seorang ibu mampu
membesarnya anak-anaknya walaupun kehidupan yang sederhana. Ibu juga mempunyai naluri ibu yang kuat terhadap
anak-anaknya. Beliau jugalah yang sangat memahami setiap karakter dan sifat
anak-anaknya. Si ibu jugalah penawar di kala si anak berduga. Ibu sentiasa
mendengar setiap luahan si anak dengan sabar. Si ibu itu jugalah yang mampu
menangkap dan meredakan kesedihan anaknya walaupun si anak menyembunyikan
kesedihannya. Itulah kuasa seorang ibu. Tanpa meminta pun seorang ibu dengan
ikhlas mencurahkan kasih sayang terhadap anaknya.
Ibu tidak pernah
mengharapkan sebarang balasan atas pengorbanannnya melahirkan insan yang
bergelar anak. Cukup dengan balasan kasih sayang anak terhadap mereka sudah
membuatkan hati ibu gembira. Betapa cinta dan sayangnya seorang ibu terhadap
anaknya ditunjukkan melalui sikapnya setiap hari menyediakan makanan,
menghantar ke sekolah, membeli keperluan si anak dan yang paling utama si ibu
tidak pernah lupa untuk mendoakan anaknya setiap hari setiap kali anak itu
melangkah keluar dari rumah untuk menuntut ilmu. Ibu mencurahkan kasih
sayangnya itu kerana ingin melihat anaknya berjaya dalam hidup sehingga dapat
menjadi orang yang berguna apabila dewasa agar ibu tidak risau melepaskan
anaknya bekerja kelak mahupun beliau lepas daripada tanggungjawab mendidik anak-anaknya.
Mustika binti Derise
No comments:
Post a Comment