Thursday, December 5, 2013

Masih Segar Di Ingatan



‘Iman masuk dalam rumah. Tak baik duduk sendiri-sendiri senja begini’ suara Datin Syafiqa menghentikan lamunanku. Tanpa aku sedar, sudah sejam aku duduk di bangku itu. Datin Syafiqa merupakan ibu angkatku merangkap ibu kepada arwah sahabatku, Uni Syafina. Aku memanggilnya dengan gelaran Ibu. Disebabkan aku sudah 14 tahun tinggal bersamanya, aku menganggap dia sebagai ibu kandungku. Mak dan Ayahku bercerai semasa aku berusia 4 tahun. Aku di jaga oleh Mak Ngah setelah kedua orang tuaku enggan menjagaku. Namun setelah Mak Ngah berkahwin, hidupku mula tidak teratur. Aku selalu dipulaukan di sekolah rendah disebabkan darjatku yang tidak setaraf dengan mereka yang lain. Mereka juga mengejekku dengan mengatakan bahawa Mak yang melahirkan aku adalah seorang pelacur. Aku sendiri tidak tahu akan latar belakang kedua orang tuaku kerana semasa mereka meninggalkanku, aku masih mentah. Namun tidak bagi Uni. Kehadiran Uni, bagaikan sinar yang menerangi hidupku. Hanya Uni yang hendak berkawan denganku walaupun dia berasal dari keluarga yang mewah. Uni seorang yang baik dan mempunyai lesung pipi yang menambahkan kecantikan pada wajahnya yang gebu itu. Uni tidak mengira dengan sesiapa pun dia berkawan. Persahabatanku dengan Uni semakin hari semakin erat. Aku mula di bawa ke rumahnya setelah habis waktu sekolah. Sehinggakan, pada suatu hari Ibu dan Abah Uni iaitu Datuk Ashraf mengajakku untuk tinggal bersama mereka. Pada awalnya, aku enggan menerima ajakan itu tetapi pujukan Uni, Ibu dan Abah dapat mencairkan hatiku. Alasan utama mereka mengajakku tinggal bersama mereka adalah bertujuan untuk mengajar Uni dalam pelajaran. Tidak dinafikan, aku merupakan seorang pelajar yang bijak tetapi berlainan dengan Uni. Uni kurang sedikit dalam pelajaran. Kesan daripada demam yang berpanjangan sewaktu kecil menyebabkan Uni agak lembab dalam pelajaran. Aku menerima ajakan itu kerana ingin membantu Uni. Uni merupakan anak tunggal dalam keluarga mewah itu. Disebabkan penyakit kanser rahim yang di alami Datin Syafiqa menyebabkan beliau tidak dapat melarikan anak lagi. Semenjak aku tinggal bersama mereka, aku di tatang bagai minyak yang penuh. Tiada istilah berat sebelah antara aku dengan Uni. Kemewahan yang diberikan Uni, aku turut diberi oleh Datuk dan Datin.

            Dua bulan sebelum kami menduduki peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mula lebih fokus dalam bab pelajaran. Setiap malam kami mengulangkaji pelajaran apa yang telah di ajar di siang hari. Setiap hujung minggu, kami mengisi masa lapang kami dengan membaca buku-buku ilmiah. Kadang-kadang, kami juga pergi ke perpustakaan untuk mencari maklumat tambahan. Kami mula bertungkus-lumus untuk mendapatkan skor A dalam semua matapelajaran. Sokongan dan harapan Ibu dan Abah menambahkan lagi semangat kami untuk belajar bersungguh-sungguh. Bagi aku dan Uni, tiada perkara yang lebih menggembirakan selain daripada menggembirakan hati kedua orang tua kami. Oleh yang demikian, kami bertekad untuk menggembirakan hati mereka dengan cara membuat mereka bangga dengan apa yang kecapi dalam keputusan SPM. 15 November 2006, kami mula berperang dengan kertas menggunakan ilmu yang ada di dada. Apa yang kami telah pelajari kami muntahkan dalam kertas jawapan yang diberikan. Sebaik mungkin kami menjawab soalan-soalan SPM tersebut. Setelah tiga minggu menduduki peperiksaan, kami akhirnya ‘merdeka’.

‘Iman, jomlah bergambar. Boleh jadi kenangan.’ kata Uni apabila mengajakku untuk bergambar dengannya. Aku berlainan dengan Uni, aku lebih suka akan menikmati alam yang di anugerahkan oleh Allah s.w.t manakala Uni pula seorang yang suka bergambar. Di pantai itu, kelihatan Uni bermain-main dengan air menggunakan kakinya. Sesekali dia menjerit ke arah laut seakan-akan ingin memberitahu dunia bahawa dia sudah merdeka dari peperiksaan. Aku dan Ibu tersenyum melihat gelagat Uni yang sedikit kebudak-budakan itu. Awalnya, Abah ingin mengikuti percutian kami namun atas dasar tanggungjawab yang besar ke atas syarikat, Abah terpaksa membatalkan niatnya untuk niatnya bersama-sama kami. Percutian ini telah dijanjikan oleh Ibu dan Abah apabila kami sudah habis menduduki peperiksaan. Hari itu, janji yang diberikan dikotakan oleh Ibu. Kami bercuti di Pulau Sipadan. Alangkah indahnya pemandangan di sana memandangkan pulau itu belum di terokai oleh manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab. Airnya sungguh jernih sehingga dapat melihat ke dasar laut. Kelihatan anak-anak ikan yang berkejar-kejar, rumpai-rumpai laut dan batu karang. Betapa indahnya dunia ini jika terus di jaga bukan dipergunakan untuk kepentingan sendiri. ‘Iman, Uni tulis nama kita kat atas pasir erk. Lepas tu, kita gambar. Boleh jadi kenangan.’ Aku mengangguk menandakan bersetuju dengan cadangannya. Aku akui Uni seorang yang periang dan lincah pergerakannya. ‘pose’  yang dibuat olehnya tatkala bergambar jelas menunjukkan hobinya dalam bab penggambaran. Aku, Uni dan Ibu menikmati setiap detik yang berlaku selama berada di pulau tersebut. Disebabkan Ibu sibuk berkerja menyebabkan kami jarang meluangkan masa dengan ibu. Aku dan Uni lebih rapat dengan Ibu berbanding Abah kerana Abah selalu outstation kerana hal pekerjaan. Tambahan pula, aku dan Uni selalu meluahkan perasaan dengan Ibu. Walaupun Ibu sibuk dengan kerja tetapi Ibu pandai mengambil masa untuk bersama kami meskipun hanya sebentar sahaja. Setiap tempat yang kami kunjungi, Uni dengan hobinya akan menangkap gambar sekeliling dan tidak lupa juga menangkap gambar dirinya yang comel itu. Selepas beberapa hari di sana, kami pulang ke rumah. Sambil menunggu keputusan SPM keluar, aku dan Uni hanya menghabiskan masa di rumah. Ibu dan Abah tidak membenarkan kami untuk bekerja. Oleh itu, kami hanya tinggal di rumah selama beberapa bulan. Aku sangat gembira tinggal bersama keluarga yang tidak pernah menganggap aku sebagai orang asing di rumah mewah itu. Namun, terkadang hati kecilku juga ingin mencari kedua orang tuaku yang pernah menjagaku walaupun hanya empat tahun sahaja. Hanya seutas rantai yang ditinggalkan kepada aku. Mak Ngah pernah memberitahuku bahawa rantai itu merupakan rantai warisan turun temurun keluarga sebelah mak aku.



            Hari demi hari, akhirnya hari yang di tunggu-tunggu menjelma jua. Aku tidak dapat tidur lena malam sebelum keluar keputusan SPM. Perasaan gementar lebih menguasai diri berbanding permintaan mata yang ingin berehat. Pagi itu, aku dan Uni bersiap sedia untuk ke sekolah mengambil keputusan. Ibu tidak dapat menemani kami dan hanya menghantar kami sehingga di seberang jalan yang berhadapan dengan sekolah kerana ingin mengejar masa untuk meghadiri mesyuarat pada pagi itu. Sebelum turun dari kereta, aku dan Uni seperti biasa melakukan rutin harian kami sebelum Ibu pergi bekerja iaitu menyalam dan mencium tangan ibu. Tetapi hari ini, Uni kelihatan ganjil sekali. Dia menyalam Ibu dan mencium kedua belah pipi ibu. ‘Uni sayang Ibu. Terima kasih Ibu. Bagitahu Abah, Uni sayang Abah. Uni minta maaf atas salah yang pernah Uni lakukan.’ Itulah perkataan terakhir yang sempat diluahkan dari mulut Uni sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku hanya tersenyum melihat kelakuan Uni. Pagi itu, aku tidak menjamah sebarang makanan. Aku berasa lapar. Aku menyuruh Uni untuk pergi dahulu ke sekolah untuk bertemu dengan rakan-rakan yang di rindui memandangkan ramai orang membeli di gerai Mak Timah. Gerai Mak Timah merupakan gerai yang paling laku di kawasan itu. Dari gerai Mak Timah, kedengaran bunyi tayar yang terheret di jalan raya membuatkan aku berpaling kearah lori tersebut. 

      ‘Uni.................’ jeritku. Belum sempat Uni berpaling kearahku, Uni dahulu di sambar oleh lori tersebut. Ketika itu aku merasakan dunia ini seakan-akan berhenti seketika lalu segera berlari kearah Uni yang berlimpahan darah. Baju putih yang di pakai oleh Uni sudah bertukar menjadi merah. Aku menangis sambil di memeluk tubuh Uni yang sangat na...ak. Orang ramai mula mengerumuni kami saat itu dan menelefon ambulans agar segera datang ke tempat kejadian. Aku menangis teresak-esak tidak mempercayai apa yang telah berlaku di hadapanku itu. Seorang yang aku sangat sayangi sedang terbaring atas riba ku dengan keadaan yang sangat menyedihkan. Sampai sahaja di hospital, Ibu dan Abah berlari ke arahku untuk bertanyakan keadaan Uni. Saat itu, Uni sedang bertarung nyawa di dalam wad kecemasan. Aku,Ibu dan Abah duduk menunggu. Aku memeluk dan menenangkan Ibu serta memberi kata-kata semangat kepada Ibu. Ibu tidak dapat menahan kesedihannya dan menganggap dia adalah punca Uni mengalami sedemikian. Abah kelihatan tenang namun aku tahu ada perasaan sedih menyelubungi hatinya tetapi tidak ingin melihatkan kesedihannya kepada kami. Setelah 20 minit menunggu di ruang tunggu, Doktor yang merawat Uni keluar. Kami segera berdiri mendapatkan doktor tersebut. ‘Bagaimana dengan anak kami doktor?’ Tanya Abah kepada doktor tersebut. Lama juga baru kami mendapat tindak balas dari doktor tersebut. ‘Maafkan kami Datuk Datin. Allah lebih menyayangi anak Datuk dan Datin.’ Ibu menjerit meraung tidak mempercayai kata-kata yang doktor itu ucapkan. Selepas itu, Ibu pengsan dan tidak sedarkan diri. Ibu di bawa ke wad kecemasan.



            Walaupun Uni Syafina sudah meninggalkan kami sejenak enam tahun lalu, senyuman manis dan kecomelan itu masih segar di hati. Layanan Ibu terhadapku tidak berkurang. Ibu masih menganggap aku sepertimana semasa Uni masih ada di dunia ini. Tiada istilah anak angkat Ibu dan Abah kepadaku bahkan aku semakin diberikan tumpuan memandangkan hanya tinggal aku anak mereka. Aku sangat bertuah bertemu dengan mereka yang pada mulanya Uni merupakan orang yang membawa aku ke syurga dunia ini iaitu keluarga yang sangat baik. Ibu memanggil aku yang sedang mengimbas kembali ke masa lalu. 

          ‘Iman, masuk dalam rumah. Tak baik duduk sendiri-sendiri senja begini.’ Ucap Datin Syafiqa menghentikan lamunanku. Sesungguhnya, aku rindu kau Uni Syafina.




Nur Razirah binti Tahir

No comments:

Post a Comment