Sunday, January 19, 2014

GRAND ARTIKEL


MEMBIMBANGKAN! KEMANA HALA TUJU??
                             
   Meniti kehidupan pada era globalisasi, pelbagai kemajuan yang telah dicapai, penyelidikan dalam melahirkan inovasi dan kreativiti telah membuka peluang pekerjaan yang menjamin kehidupan. Persoalannya, menampungkah peluang ini untuk jumlah graduan yang setiap tahun meningkat untuk mendapat tempat dalam pekerjaan? Masalah graduan menganggur bukan satu fenomena yang baharu, dan ianya tidak hanya berlaku di Malaysia. Segulung ijazah belum pasti menjanjikan pekerjaan. Seperti mana yang telah diperkatakan oleh Menteri Pembangunan dan Koperasi, sebanyak 48 ribu siswazah graduan belakangan ini masih berada di takuk lama. Perkara ini menyebabkan bebanan yang ditanggung pihak kerajaan akan meningkat dengan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan untuk mengurus graduan-graduan yang menganggur. Oleh itu untuk mengelakkan peratus pengangguran dikalangan siswazah bertambah, punca-punca pengangguran perlu diidentifikasikan. Strategi-strategi yang proaktif dan komprehensif perlu dirancangkan dan dilaksanakan.

   Antara faktor yang menyebabkan pengangguran dalam kalangan siswazah ialah,kredibiliti dan keupayaan siswazah baru adalah diragui. Pemimpin negara dan tokoh industri yang bersikap kurang adil dalam memberi gambaran terhadap kualiti graduan institusi tempatan. Graduan tempatan yang dididik oleh acuan universiti tempatan hari ini dianggap lemah dan sering dipersoalkan kredibiliti dan kemampuannya. Contohnya, graduan tidak mempunyai kemampuan berkomunikasi, terutamanya dalam bahasa Inggeris, tidak berkeyakinan untuk bersaing, tidak memiliki kemahiran berniaga, dan tidak bijak mewujudkan peluang pekerjaan. Siswazah dianggap “cemerlang” dalam kertas sahaja tetapi “kandas” dalam kemahiran. Majikan tidak ingin memperuntukkan sejumlah kos yang tinggi untuk melatih siswazah yang baru keluar dari universiti. Natijahnya, setiap majikan kerap memilih siswazah yang mempunyai pengalaman bekerja. Pengambilan siswazah baru kemungkinan mendatangkan risiko kepada majikan kerana majikan telah mengira kerugian yang bakal dialami. Majikan terpaksa memperuntukkan kos tinggi melatih graduan baru dan kemungkinan mereka akan beralih ke syarikat lain setelah mendapat tawaran yang lebih baik. Jelaslah kepada kita bahawa keraguan terhadap siswazah baru memang merupakan satu kenyataan yang sahih dalam pasaran buruh pada masa kini.


    Selain itu juga,permintaan melebihi penawaran peluang pekerjaan di pasaran buruh juga merupakan salah satu factor yang mendorong jumlah graduan menganggur. Terlalu ramai siswazah yang mempunyai kecemerlangan akademik sukar untuk mendapat pekerjaan, sekiranya temu duga untuk satu jawatan kosong dihadiri oleh lebih seribu calon berkelayakan untuk ditemu duga. Dan yang tidak kita jangkakan bukan sedikit pula siswazah universiti luar negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang kemampuan bahasa Inggerisnya diiktiraf masih membawa “resume” ke hulu-hilir bersama siswazah dalam saban hari untuk merebut peluang pekerjaan. Pertambahan graduan IPTA setiap tahun tidak sejajar dengan penawaran peluang pekerjaan. Hakikatnya, lambakan 40 ribu graduan IPTA setiap tahun. Mereka bukanlah semuanya tidak berkelayakan tetapi peluang pekerjaan terlalu terhad. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo telah mengakui bahawa sektor kerajaan tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah ini lantaran hambatan perbelanjaan pengurusan. Kelahiran graduan baru setiap tahun yang tidak sejajar dengan penawaran pekerjaan telah menyebabkan pengangguran berlaku. Jelaslah kepada kita bahawa, faktor di atas adalah punca pengangguran.

     Bukan itu sahaja, malah syarat kelayakan pengambilan pekerja baru menyukarkan “graduan segar” merebut peluang pekerjaan. Tempoh pengalaman yang diperlukan biasanya sekitar antara satu hingga tiga tahun, terdapat juga beberapa jawatan yang memerlukan 10 tahun pengalaman kerja. Berdasarkan satu tinjauan telah dibuat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap peluang pekerjaa daripada 30 jawatan untuk pemegang ijazah yang diiklankan dalam akhbar New Straits Times dan The Star pada 6 Mei 2004, sebanyak 93 peratus atau 28 daripadanya meletakkan syarat pengalamam kerja sebagai kriteria utama. Hal ini sebenarnya menyukarkan graduan mendapatkan pekerjaan tersebut. Dalam masa yang sama juga, penguasaan bahasa Inggeris diutamakan dalam pemilihan calon temu duga. Berdasarkan sistem pelajaran yang lalu, kebanyakan siswazah tempatan dididik dalam medium bahasa Melayu manakala bahasa Inggeris hanya bertindak sebagai alternatif. Maka, tidak hairanlah terdapat sesetengah pihak yang merendah-rendahkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswazah tempatan secara “semberono”. Semasa pemilihan calon temu duga, kemahiran Bahasa Inggeris sebagai syarat utama utnuk 50 peratus daripada 30 peratus yang mensyaratkan penguasaan bahasa Melayu sebagai kriteria. Jelas dan sahihlah serta tidak dapat kita dinafikan bahawa, syarat kelayakan pengambilan pekerja merupakan salah satu cabaran kepada “graduan segar”.





 Bilangan siswazah yang menganggur pada tahun 2012 adalah seramai 75,800 orang seperti di Jadual 1.

Jadual 1: Bilangan Siswazah Yang Menganggur Mengikut Jantina Pada Tahun 2012

Siswazah Menganggur
Jantina
Bilangan
Lelaki
30,200

Wanita
45,600

Jumlah
75,800
                                
Sumber: Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia


Jadual 2: Bilangan Pengangguran Mengikut Pengajian Pada  Tahun 2012.
Bil
Bidang
Bilangan
%
1
Program Asas/Umum
400
0.53
2
Pendidikan
4,200
5.54
3
Kesenian dan Kemanusiaan  
5,300
7.0
4
Sains Sosial, dan Undang-undang
25,500
33.64
5
Sains, Matematik dan Pengkomputeraan
11,000

14.51
6
Kejuteraan, Perubatan dan Pembinaan
15,300
20.18
7
Pertanian, Perhutanan, Perikanan dan Veterinar
800
1.05
8
Kesihatan
10,700
14.12
9
Perkhidmatan
2,600
3.43

Jumlah
75,800
100.0

Sumber: Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia





JENIS PENGANGGURAN 


Pengangguran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis ;

    a.    Pengangguran geseran atau normal.
Pengangguran ini berlaku untuk sementara waktu sahaja. Pekerja tidak puas hati dengan pekerjaan sekarang dan sedang berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang lebih baik. Pengangguran geseran atau normal berlaku apabila pekerja berhenti kerja dan mencari pekerjaan tetapi tidak menjumpainya serta merta dan ketika itu mereka dikira sebagai penganggur. Friksional ini merujuk kepada ketaksesuaian di antara permintaan dan bekalan buruh.


b.      Pengangguran struktur.
Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah pengangguran. Perubahan sektor ini juga berlaku kerana kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam pasaran dan sebagainya.  


c.       Pengangguran kitaran atau edaran.
Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh pengeluar. Kemerosotan permintaan agregat yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan berlakunya inflasi akan menyebabkan kuasa beli isi rumah merosot.  


d.      Pengangguran teknologi.
Pengangguran teknologi berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan robot. Ini disebabkan berlakunya perkembangan teknologi yang telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin berkurangan. Pembangunan teknologi misalnya menyebabkan keperluan kemahiran baru dalam banyak industri, menyebabkan mereka yang tidak mengemaskini kemahiran mereka kehilangan pekerjaan. Dan kilang dalam industri yang merosot akan tutup yang menyebabkan pekerja mereka hilang pekerjaan.  


e.       Pengangguran tersembunyi atau tidak ketara.
Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya lebihan penggunaan tenaga buruh dalam sesuatu ekonomi. Pengangguran ini kebanyakkannya berlaku dalam sektor pertanian. Kehadiran tenaga buruh yang berlebihan ini tidak akan menambahkan pengeluaran dan ketiadaan tenaga buruh ini juga tidak akan menjejaskan pengeluaran.  


f.       Pengangguran bermusim.
Pengangguran bermusim berlaku apabila berlakunya perubahan musim yang menghalang tenaga buruh melakukan kegiatan ekonomi. Misalnya, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai dan terpaksa tunggu hingga musim menanam semula. Nelayan pula tidak turun ke laut untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh. 


g.      Pengangguran sukarela atau terbuka.

Pengangguran ini berlaku apabila tenaga buruh secara sukarela enggan bekerja apabila ditawarkan pekerjaan. Ini disebabkan oleh pekerjaan yang ditawarkan tidak sesuai dengan kelulusan, kemahiran, pengalaman dan sebagainya dengan tenaga buruh. 













No comments:

Post a Comment